Saturday, 18 June 2011

Talking To The Moon

Hai Bulan.

Awak sihat? Awak nampak sangat cantik malam ni, sangat terang.

Berdiri di balkoni di luar bilik yang terletak di tingkat 5, saya mendongak memandang langit gelap, menatap langit yang suram tanpa bintang-bintang. Kebiasaannya masa-masa macam sekarang ni, saya sedang duduk atas katil, online, atau pun buat apa yang sepatutnya. Tapi entah mengapa, tiba-tiba malam ni saya terasa seperti ingin berbual dengan awak. Mungkin kerana saya terasa sunyi sejak dua menjak ni. Mungkin.

Kehidupan saya di sini semakin bertambah baik. Saya gembira bertemu rakan-rakan baru. Saya gembira belajar benda-benda baru. Saya gembira explore tempat-tempat baru. Saya bersyukur. Tapi entah mengapa, jauh di sudut hati, saya terasa sunyi, suram. Dan saya sangat sangat sangat tak suka perasaan itu.

Kadang-kadang fikiran bercelaru, memikirkan apa keputusan terbaik yang perlu dilakukan setiap hari. Dan kadang-kadang, saya tak tau apa yang patut saya fikirkan. Situasi ini sangat merunsingkan. Saya bosan. Saya ingin keluar dari lingkaran kesunyian, tapi tak mampu. Saya tersekat, dan berundur, tersekat, dan meronta, tersekat dan tidak tahu bila akan selesai.

Berkali saya merenung kembali masa lalu. Dan banyak kali juga saya rasa saya ingin sangat padam jalur masa itu, dan lukis semula jalur masa itu dengan peristiwa yang lebih baik, supaya saya tak rasa apa yang saya rasa sekarang.

Tapi saya tahu, untuk mengubah jalur masa adalah mustahil. Sangat mustahil. Apa yang saya cuma mampu buat sekarang ialah mengutip sisa-sisa semangat dan terus menempuh dugaan masa hadapan.

Menatap langit, sambil berbual dengan awak mungkin nampak seperti perbuatan orang kurang waras. Tapi saya tak kisah. Kerana saya tahu, di suatu tempat yang lain, di atas muka bumi yang sama, ada lagi manusia yang sedang membuat perkara yang sama.